Kuala Lumpur, 2 Februari 2021: Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) mengumumkan penerbitan ‘Ringkasan Rancangan Korporat 2021 - 2023’.
Bertemakan ‘Tangkas Mendepani Cabaran’, rancangan bertempoh tiga tahun ini mencerminkan komitmen berterusan PIDM untuk memantapkan kesediaan operasi dan resolusinya.
Rancangan tersebut mengetengahkan beberapa objektif strategik utama PIDM bagi tahun 2021 hingga 2023:
- Kesediaan: meningkatkan tahap ketangkasan bertindak terhadap kegagalan institusi ahli, dan menekankan latihan simulasi bersama rakan strategik utama bagi kerjasama dan koordinasi yang efektif.
- Organisasi: terus memupuk pemikiran kakitangan yang tangkas dengan menggalakkan budaya pembelajaran dan pembangunan.
- Visibiliti dan reputasi: meningkatkan visibiliti dan reputasi PIDM bagi memupuk kepercayaan dan keyakinan terhadap kakitangannya dan sistem-sistem yang ditadbirnya.
- Operasi: terus meningkatkan amalan keselamatan maklumat dan membangunkan pelan transformasi digital.
Sistem perlindungan konsumer kewangan PIDM adalah antara bahagian penting dalam daya tahan sistem kewangan Malaysia.
“Keutamaan kami adalah untuk meningkatkan keyakinan terhadap daya tahan sistem kewangan Malaysia menerusi sistem perlindungan dan instrumen yang tersedia ada. Ketidaktentuan persekitaran pada masa kini mendorong kami untuk meningkatkan lagi ketangkasan PIDM bertindak mendepani sebarang cabaran secara efektif agar pendeposit dan konsumer kewangan lain terus dilindungi,” kata Rafiz Azuan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PIDM.
Pandangan Rafiz mengenai PIDM, kakitangan dan rancangan masa depan PIDM dijelaskan dengan lebih lanjut menerusi sebuah video pendek. Ia boleh didapati di
laman web PIDM.
Bagi tahun kewangan 2021, PIDM dijangka akan menerima premium dan levi berjumlah RM325 juta bagi dana perlindungannya daripada institusi-institusi ahli. Ia juga dijangkakan menerima pendapatan pelaburan sebanyak RM150 juta, di mana sebahagian akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan operasi PIDM.
Ringkasan Rancangan Korporat 2021 – 2023 boleh didapati dalam
Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris.
Bagi maklumat lanjut mengenai kenyataan akhbar ini, sila hubungi:
Sarina Ariffin, Timbalan Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam (Tel: 03-2173 7457; E-mel: sarina@pidm.gov.my)
Masami Mustaza, Pengurus Kanan, Bahagian Komunikasi dan Hal Ehwal Awam
(Tel: 016-3643406; E-mel: masami@pidm.gov.my) |
MENGENAI PIDM
PIDM adalah badan berkanun yang menyediakan perlindungan, sehingga had yang ditetapkan, terhadap kerugian deposit dan manfaat insurans atau takaful sekiranya berlaku kegagalan sesebuah institusi ahli. PIDM dibiayai sepenuhnya daripada premium atau levi yang dinilai ke atas institusi ahlinya dan tidak menerima dana awam untuk beroperasi. Ia memiliki kaedah-kaedah di bawah Akta PIDM untuk meminjam atau mengumpul dana tersebut yang mungkin diperlukan untuk memenuhi obligasi berkanunnya bagi melindungi konsumer kewangan institusi ahlinya. Sebagai sebahagian penting daripada jaringan keselamatan kewangan negara, PIDM menggalak dan menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan.
Bagi maklumat lanjut: